Wanita berjaya lepaskan diri selepas gigit tangan, cakar muka lelaki cuba rogolnya
Orang awam menahan seorang lelaki selepas dipercayai cuba merogol seorang wanita di dalam tandas awam.
TINDAKAN nekad seorang wanita menggigit tangan serta mencakar muka seorang lelaki berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa rogol.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian berlaku di dalam tandas awam dekat Laman Kreatif Kampung Melayu, Kluang pada 5.20 petang semalam.
Katanya, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai peniaga masuk ke dalam tandas tersebut dan mendapati salah satu pintu dalam keadaan tertutup.
“Mangsa tidak mengesyaki apa-apa dan ingin menggunakan tandas.
“Semasa mangsa mahu masuk ke tandas hadapan, secara tiba-tiba suspek telah keluar dari tandas belakang dan menyuruh mangsa diam.
“Suspek terus mengunci pintu tandas dan menghalang pintu tersebut ketika mangsa mahu keluar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, mangsa telah menjerit meminta bantuan lalu suspek terus mendekatinya sehingga mangsa terjatuh.
Suspek bertindak menindih badan mangsa dengan menggunakan badannya dalam keadaan muka diletakkan di dada mangsa.
Sementara tangan kiri suspek merangkul pinggang mangsa dan tangan kanan pula menekup mulut.
“Mangsa yang ketakutan bertindak mengigit tangan suspek dan mencakar mukanya.
“Mangsa kemudian bertindak melarikan diri keluar dari tandas” katanya.
Mengulas lanjut, suspek telah ditahan orang awam di lokasi kejadian.
Semakan mendapati suspek berusia 34 tahun yang juga penganggur itu mempunyai enam rekod jenayah lampau dan tiga rekod dadah.
“Saringan ujian air kencing suspek adalah negatif dadah dan permohonan reman ke atas suspek akan di buat di Mahkamah Majistret Kluang pada hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
@liputan7official