Gadis OKU dirogol bapa kandung sendiri selepas kematian ibu

Gadis OKU dirogol bapa kandung sendiri selepas kematian ibu

MELAKA – Seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang kematian ibu akibat kanser didakwa menjadi mangsa seks bapanya, manakala kakak yang menjadi tempat mengadu hanya mendiamkan perlakuan keji berkenaan.

Kejadian terbongkar selepas bapa berusia 54 tahun dan kakak mangsa 25 tahun diberkas sepasukan polis dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, petang semalam.

Menurut sumber, suspek lelaki dipercayai telah merogol mangsa berusia 23 tahun yang juga anak bongsu daripada dua beradik di kediaman mereka di Cheng pada 6 Jun lalu.

“Kejadian itu hanya terbongkar selepas mangsa yang merupakan OKU pembelajaran menceritakan perbuatan keji bapanya kepada ibu saudara yang kemudian membawanya membuat laporan polis.

“Mangsa mendakwa dia telah dirogol bapanya di dalam bilik selepas mandi di rumah mereka kira-kira pukul 9 pagi pada 6 Jun lalu,” katanya.

Tambahnya, suspek turut memukul kaki mangsa menggunakan tali pinggang dan mengugut mangsa agar merahsiakan perbuatannya.

Mengulas lanjut dia berkata, mangsa sebelum ini telah mengadukan kejadian sama kepada kakaknya, namun wanita tersebut hanya mendiamkan perlakuan bapa mereka.

“Ibu mangsa telah meninggal dunia akibat kanser pada 2008, jadi kakaknya menjadi tempat untuk mengadu.

“Kakaknya bagaimanapun enggan percaya sebaliknya turut memukul mangsa kerana merasakan adiknya telah memfitnah bapa mereka,” ujarnya.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

@liputan7official

Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!