Pandu lawan arus, berbahaya sejauh 96 km, pasangan lelaki wanita dicekup



Pandu lawan arus, berbahaya sejauh 96 km, pasangan lelaki wanita dicekup


Johor Bahru: Pasangan lelaki dan wanita ditahan polis selepas aksi berbahaya mereka memandu secara melawan arus sejauh 96 kilometer dari Lebuhraya Pasir Gudang hingga ke Tanjung Langsat awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi tadi itu, anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang menjalankan rondaan cegah jenayah bersama pasukan dari IPD Johor Bahru Utara (JBU) dan Seri Alam.


Katanya, pasukan peronda berkenaan mengesan sebuah kereta Proton Wira biru yang dipandu secara mencurigakan dan melawan arus oleh seorang suspek lelaki berusia 36 tahun bersama seorang wanita berusia 34 tahun.


"Suspek enggan berhenti walaupun diarah oleh polis dan terus memandu melawan arus serta secara berbahaya termasuk memecut laju dalam keadaan zig-zag memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum berpatah balik ke Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Pasir Gudang.


"Suspek kemudian memasuki Lebuhraya EDL (Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur) menuju ke Pusat Bandaraya seterusnya ke Persiaran South Key dan Jalan Bakar Batu menghala ke arah Pandan.


"Kedua suspek kemudian melarikan diri menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang menuju ke kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, sebelum berjaya dipintas dan dihentikan pasukan peronda," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Raub berkata, kedua suspek akhirnya berjaya ditahan di Jalan Perindustrian Tanjung Langsat, kira-kira jam 4.15 pagi, selepas satu jam 22 minit dikejar sebanyak 14 Unit Kereta Peronda (MPV) sejauh hampir 100 kilometer.


Katanya, hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,malah polis turut menemui 0.45 gram dadah jenis syabu pada suspek.


"Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek lelaki yang juga pemandu tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan yang digunakan telah tamat tempoh.


"Semakan juga mendedahkan kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan narkotik," katanya.


Raub berkata, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini, bagi siasatan lanjut.


Katanya, kedua suspek akan disiasat mengikut enam kesalahan termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.


"Selain itu mereka akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya; Seksyen 26(1) dan Seksyen 23(1) APJ 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh selain dua kesalahan dadah membabitkan Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Beliau turut menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat jenayah melalui talian 07-2182323 atau balai polis berhampiran.


@liputan7official

Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!