Lelaki 'jual' teman wanita 17 kali demi biayai majlis kahwin

Lelaki 'jual' teman wanita 17 kali demi biayai majlis kahwin

BEKASI – Seorang lelaki tergamak menjual teman wanitanya sebanyak 17 kali kepada lelaki hidung belang semata-mata untuk mengumpul wang bagi membiayai majlis perkahwinan mereka.

Suspek berusia 26 tahun itu, yang hanya dikenali sebagai K, telah ditahan polis di Cikarang Timur, Bekasi selepas dipercayai memperdagangkan teman wanitanya, DAA, 25 tahun.

Menurut Ketua Polis Cikarang Timur, AKP Sugiharto, suspek memujuk mangsa dengan janji akan mengahwininya, namun mendakwa tidak mempunyai wang mencukupi.

“Disebabkan itu, suspek mula menawarkan mangsa melalui aplikasi janji temu kepada pelanggan lelaki, dengan bayaran sekitar 500,000 rupiah (RM130) setiap pertemuan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Difahamkan, pasangan itu mula berkenalan sejak enam bulan lalu, namun kegiatan menjijikkan tersebut telah dilakukan sejak dua bulan kebelakangan ini.

Mangsa pula terpaksa akur selepas diugut dan didera oleh suspek sekiranya enggan menurut perintah.

“Kalau mangsa menolak, suspek akan memukul dan mencederakannya,” jelas Sugiharto.

Tidak tahan dengan penderaan yang berterusan, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis yang didaftarkan dengan nombor rujukan LP/D/16/VI/2025/Polsek Cikarang Timur.

Polis kemudian menahan suspek di sebuah hotel di Jalan Inspeksi Kalimalang dan merampas pelbagai bukti seperti telefon bimbit serta tangkap layar perbualan dalam aplikasi janji temu.

Suspek kini disiasat mengikut Pasal 352 dan/atau 296 Kanun Keseksaan Indonesia atas kesalahan mencederakan dan memudahkan kegiatan pelacuran, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun empat bulan jika sabit kesalahan. – Agensi



@liputan7official

Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!