Wira tukar lorong mengejut punca 2 penunggang cedera dalam kemalangan 6 kenderaan
TINDAKAN pemandu Proton Wira menukar lorong secara tiba-tiba dikenal pasti menjadi punca kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, pukul 7.40 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lori berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Ulu Tiram ke Taman Desa Cemerlang.
Beliau berkata, secara tiba-tiba sebuah Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 59 tahun telah masuk ke laluan pemandu lori secara mengejut.
Akibat kejadian, pemandu lori tidak sempat membrek dan melanggar tepi Wira.
“Pemandu Wira juga telah hilang kawalan lalu berpusing masuk ke lorong kanan dan melanggar kereta BMW 328i dan dua buah motosikal Yamaha 135LC.
“Pemandu BMW telah berhenti secara mengejut dan dilanggar sebuah Proton Persona yang tidak sempat mengelak,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.
Jelasnya, penunggang motosikal Muhammad Izzul Nazri Rahmad, 25, mengalami cedera luka ringan di tangan, muka dan kaki.
Sementara penunggang motosikal Muhammad Ridzuan Md Khisban, 35, mengalami bengkak di pinggul, luka di tangan dan kaki.
Pemandu kereta dan lori yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan mengalami pelbagai kerosakan,” ujarnya.
Kes diklasifikasikan sebagai Rule 3(2) (B) LN166/59.
@liputan7official