Mayat Bertatu ‘Joseph’ Ditemui di Longkang Lebuh Raya SILK, Polis Kesan Waris
KAJANG, 25 Oktober 2025 – Polis sedang mengesan waris kepada seorang lelaki yang ditemukan mati di dalam longkang berhampiran Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (SILK) Sungai Ramal, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada Isnin lalu sekitar jam 2.22 petang selepas menemui mayat dalam keadaan tidak sempurna dan sudah membusuk.
“Ketika ditemui, mangsa berbaju biru, berseluar pendek dan tidak berkasut. Tiada sebarang senjata atau barangan peribadi dijumpai di lokasi. Namun terdapat tatu berbentuk kompas dengan anak panah serta perkataan ‘JOSEPH’ pada lengan kiri mangsa,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.
Siasatan awal mendapati melalui semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dilihat berjalan kaki di tepi lebuh raya pada 19 Oktober jam 6.03 petang sebelum memanjat tembok besi dan terjatuh ke dalam longkang.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat, dan laporan awal mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan terjatuh dari tempat tinggi.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelas Naazron.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dengan ciri fizikal serupa diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Borhan Mohamad di talian 014-3289730 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
oleh LIPUTAN7
25 Oktober 2025
#liputan7 #Kajang #Jenayah #Malaysia
@liputan7official