YAN, 23 Oktober 2025 – Seorang buruh binaan warga Bangladesh ditemukan maut selepas dipercayai dijerut oleh rakan serumahnya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Teroi, Guar Chempedak, tengah hari tadi.
Menurut laporan awal, kejadian berlaku sekitar jam 1 tengah hari apabila mangsa berusia 37 tahun dikatakan bertengkar dengan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun selepas ditegur kerana lambat bersiap untuk ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohammad Harmizi Abdullah, berkata siasatan mendapati pertengkaran itu tercetus di antara kedua-dua lelaki yang tinggal bersama lima lagi individu di rumah berkenaan, terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan empat lagi warga Bangladesh.
“Mereka semua bekerja sebagai buruh binaan di tapak pembinaan jambatan di Bukit Jenun. Dalam pertengkaran tersebut, mangsa dipercayai berang dengan teguran rakannya lalu mengambil sebilah parang dan melibas ke arah lelaki itu yang ketika itu memegang batang besi,” katanya.
Tambah beliau, suspek kemudian mencapai wayar kabel dan bertindak menjerut leher mangsa sehingga tidak sedarkan diri sebelum tampil membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa menemukan tiga kesan jerutan pada leher serta luka di bahagian bibir. Pihak polis telah menahan suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
oleh LIPUTAN7
23 Oktober 2025
#liputan7 #jenayah #Yan #Bangladesh #polisKedah
@liputan7official