7 Sungai di Kedah Lepasi Tahap Bahaya, Beberapa Kawasan Dinaiki Air


ALOR SETAR, 23 Oktober 2025 – Hujan lebat berterusan sejak pagi menyebabkan tujuh sungai di Kedah dilaporkan melepasi paras bahaya dengan trend air terus meningkat.

Menurut maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal Info Banjir, sungai-sungai yang terjejas melibatkan daerah Sik, Yan, Baling, Pendang dan Bandar Baharu. Semua menunjukkan bacaan paras air yang membimbangkan dan berisiko menjejaskan kawasan berdekatan.

Antara sungai yang dilaporkan melepasi tahap bahaya termasuk Sungai Chepir di Sik, Sungai Muda di Jeniang, dan Sungai Ketil di Baling. Keadaan ini dijangka berlanjutan sekiranya hujan tidak berhenti dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, tinjauan di media sosial menunjukkan beberapa kawasan di Kubang Pasu, Kulim, Pendang dan Sik sudah mula dinaiki air. Laluan di Jalan Kodiang–Changlun dilaporkan tidak dapat dilalui selepas air naik menutupi sebahagian jalan akibat hujan lebat sejak petang tadi.

Pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi memantau situasi dan membantu penduduk sekiranya perlu berpindah.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada, mengelak daripada melalui jalan dinaiki air, dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi pihak berkuasa.

oleh LIPUTAN7
23 Oktober 2025
#liputan7 #banjirkedah #infobanjir

@liputan7official

Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!