Anggota polis cedera ditembak, mayat wanita ditemui dalam kereta
IPOH – Seorang anggota polis cedera selepas ditembak dan ditikam oleh seorang suspek ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta mencurigakan di Simpang Pulai di sini pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, sepasukan anggota Balai Polis Simpang Pulai sedang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum mengesan sebuah kereta mencurigakan di kawasan Taman Desa Pakatan.
Menurutnya, kereta berkenaan enggan berhenti apabila diarahkan dan bertindak melarikan diri sehingga menyebabkan pihak polis mengejarnya sebelum suspek memberhentikan kenderaan di kawasan kebun kelapa sawit.
Katanya, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis terlibat ketika cubaan tangkapan dilakukan.
"Suspek berjaya merampas pistol milik anggota terbabit lalu melepaskan tembakan mengenai bahagian perut mangsa sebelum turut menikamnya. Suspek kemudian melarikan diri bersama pistol berkenaan.
"Anggota polis berusia 26 tahun pangkat konstabel ini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Noor Hisam berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta yang ditinggalkan suspek pihaknya menemukan mayat seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya di bahagian tempat duduk belakang.
"Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti serta punca kematian wanita tersebut," jelasnya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
"Polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri. Usaha sedang dipertingkatkan bagi memastikan suspek dapat ditangkap dalam kadar segera," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan.
@liputan7official