"Alhamdulillah, anak saya dah jumpa," Bapa kepada mangsa lemas
Sanglang: "Alhamdulillah, anak saya dah jumpa," kata Masri Hassan, 43, selepas dimaklumkan jasad anaknya, Muhammad Amsyar Muqri, 18, ditemui oleh pasukan bomba hari ini.
Masri berkata, dia menunggu sejak jam 3 petang semalam selepas dimaklumkan anaknya hilang apabila mesin padi yang dinaiki bersama tiga rakan terjatuh ke dalam sungai Kampung Sanglang.
Katanya, dia setia berada di situ bersama ahli keluarga sehingga malam tadi untuk mengetahui perkembangan mengenai anak sulung daripada dua beradik itu.
"Saya hanya pulang ke rumah untuk solat Subuh pagi tadi dan datang semula ke sini untuk melihat operasi pencarian anak saya yang disambung hari ini.
"Malam tadi kami sekeluarga ada buat bacaan Yasin dan solat hajat supaya pencarian anak saya dipermudahkan," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.
Masri berkata, anak sulungnya itu bercita-cita untuk menjadi pegawai bomba tetapi apabila mendapati tawaran di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas), dia meneruskan pengajian di situ.
Katanya, anaknya baru mengikuti pengajian di semester satu dalam Diploma Perkhidmatan Bangunan, Polimas Julai lalu.
"Saya jumpa dia pagi semalam, dia beritahu nak main futsal tetapi tak tahu dia pergi ke sini (lokasi kejadian)," katanya.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga selamat selepas mesin padi dilaporkan jatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang ,di sini semalam.
VIDEO PENUH DI TELEGRAM LIPUTAN7 : https://t.me/liputantujuh/84968?single
Kredit laporan berita Harian Metro
@liputan7official