Sami curi dana kuil lebih RM38.7 juta untuk berjudi

Sami curi dana kuil lebih RM38.7 juta untuk berjudi

BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang sami, disyaki menyeleweng lebih 300 juta baht (kira-kira RM38.7 juta) daripada dana derma kuil terkenal yang pimpinannya.

Phra Thammachiranuwat dari kuil Wat Rai Khing di pinggir barat Bangkok, dituduh memindahkan wang daripada akaun rasmi kuil ke akaun peribadinya.

Penyiasat yang melakukan penjejakan dana itu kemudian mengesan ia mengalir ke rangkaian perjudian dalam talian yang mengelola permainan kad baccarat, lapor media tempatan yang dipetik AFP.

Penganut derma wang untuk upacara jana pahala


Menurut Biro Siasatan Pusat (CIB), kuil berkenaan yang beroperasi sejak tahun 1851 banyak menerima sumbangan daripada upacara 'jana pahala', yang mana penganut Buddha menyumbang wang dengan harapan mendapat keberkatan dan kelahiran semula yang lebih baik.

Timbalan Pesuruhjaya CIB, Jaroonkiat Pankaew berkata, sami itu didakwa dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

"Penahanan ini bertujuan 'menyucikan' agama kita," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Seorang lagi suspek turut ditahan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada lebih ramai individu terbabit dalam penyelewengan berkenaan.

Media tempatan melaporkan, Phra Thammachiranuwat kini sudah meninggalkan status sebagai sami selepas skandal itu terbongkar.

Wat Rai Khing antara kuil yang disanjung sebagai penempatan replika tapak kaki Buddha, menjadikannya lokasi tumpuan penganut dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, pendedahan kes berprofil tinggi itu mencetuskan kemarahan rakyat yang meluahkan kekecewaan mereka di media sosial.

"Saya akan salur derma ke hospital atau sekolah selepas ini, bukan lagi kepada kuil," tulis seorang pengguna media sosial.

Namun ada juga yang menyeru supaya kepercayaan terhadap agama tidak goyah disebabkan perbuatan segelintir pihak.

Bukan semua sami jahat, kata pengguna media sosial

"Bukan semua sami jahat. Jangan pukul rata," kata seorang lagi pengguna di media sosial.

Sementara itu, CBS News melaporkan kejadian itu bukan kali pertama kuil Buddha di Thailand mencetuskan kontroversi.

Pada November tahun lalu, pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap sebuah kuil selepas menemui 41 mayat yang dikatakan digunakan dalam amalan meditasi.

Sementara pada 2022, sebuah kuil di tengah Thailand menyaksikan semua saminya dilucut status apabila didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dihantar ke pusat pemulihan

Kredit laporan Berita Harian




@liputan7official

Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!