Ketegangan India-Pakistan memuncak, berbalas tembakan di garisan kawalan Kashmir
NEW DELHI – Ketegangan antara India dan Pakistan kembali memuncak apabila kedua- dua negara berbalas tembakan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan wilayah Kashmir.
Tentera India mendakwa pasukan Pakistan telah melepaskan tembakan senjata ringan secara 'tidak diprovokasi' di seluruh LoC dan memaksa tentera India bertindak balas.
Setakat ini, tiada laporan korban jiwa diterima.
Pihak Pakistan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden itu.
Ketegangan meningkat susulan serangan oleh kumpulan bersenjata pada Selasa lalu yang mengorbankan 26 orang awam di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, serangan paling dahsyat dalam tempoh 25 tahun.
New Delhi menuduh Islamabad mendalangi 'keganasan rentas sempadan', namun Pakistan menafikan sebarang penglibatan dan menyifatkan tuduhan itu sebagai 'tidak berasas'.
Insiden itu memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan Kashmir yang sedang dalam fasa pemulihan.
Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai 'Kashmir Resistance', mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Dalam usaha meredakan ketegangan, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menawarkan kerjasama untuk satu siasatan neutral, telus dan berwibawa, namun turut memberi amaran bahawa pasukannya bersedia menghadapi sebarang tindakan mencabar dari India.
Perdana Menteri India, Narendra Modi pula berikrar akan memburu dan menghukum semua pengganas serta pihak yang bersubahat.
Krisis ini semakin meruncing apabila kedua-dua negara mengambil langkah balas dendam.
India menggantung Perjanjian Air Indus (perjanjian penting berkaitan perkongsian sumber air) selain mengusir diplomat Pakistan dan membatalkan visa rakyat Pakistan.
Pakistan pula bertindak balas dengan mengusir diplomat India, membatalkan visa rakyat India dan menutup ruang udaranya.
Islamabad turut menggantung Perjanjian Shimla 1972, yang sebelum ini menjadi asas penting dalam rundingan damai kedua-dua negara.
Krisis ini menimbulkan kebimbangan komuniti antarabangsa, dengan penganalisis memberi amaran bahawa hubungan tegang antara dua kuasa nuklear ini boleh membawa kesan buruk kepada keselamatan serantau. - Agensi
@liputan7official