'Sudahlah langgar lari, ayah ditinggalkan kesakitan sebelum meninggal dunia'


 

'Sudahlah langgar lari, ayah ditinggalkan kesakitan sebelum meninggal dunia'


Batu Pahat: Lebih sejam berendam dalam parit dalam keadaan parah sebelum akhirnya menemui ajal.


Itulah azab ditanggung seorang lelaki warga emas selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian langgar lari di Jalan Muar-Batu Pahat, Parit Bajuri, di sini, pagi semalam.


Hamzah Bujang, 61, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) selepas kemalangan, 6.30 pagi.


Menurut anaknya, Mohamad Helmy Hamzah, 24, kejadian itu diketahui selepas dia menerima panggilan daripada ibunya, Zaleha Mohamed, 66, yang memaklumkan bapanya terbabit dalam kemalangan.


Mohamad Helmy berkata, pada hari kejadian, bapanya menunggang Yamaha LC135 untuk ke tempat kerjanya di sebuah kilang dekat Minyak Beku, di sini.


"Kebiasaannya, ayah keluar rumah setiap hari, 6.15 pagi, untuk ke tempat kerja. Saya dimaklumkan, motosikal ditunggang ayah dirempuh SUV dan pemandunya melarikan diri.


"Saya dapat tahu kemalangan itu pada 7 pagi, ketika itu ayah masih ada lagi. Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan ayah meninggal dunia," katanya.


Menurutnya, susulan kemalangan itu, dia bersama ahli keluarga mahu berjumpa pemandu SUV di Balai Polis Batu Pahat, esok.


"Kalau boleh, kami nak sangat jumpa dia, kami cuma nak tanya kenapa tinggalkan ayah sedemikian? Kenapa dia tidak mahu bertanggungjawab (selepas melanggar) ayah?


"Salah ke tak salah sekurang-kurangnya tolonglah ayah, kenapa tinggalkan dalam keadaan kesakitan.


"Kalaulah ada bantuan awal daripadanya, ayah mungkin boleh diselamatkan kerana kemalangan berlaku awal pagi, jadi orang tidak perasan," katanya sebak.


Katanya lagi, kemalangan itu hanya disedari seorang guru sebuah sekolah kebangsaan selepas melihat motosikal bapanya tersadai sebelum menghubungi ahli keluarganya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang Hamzah bertembung dengan SUV.


Katanya, penunggang motosikal parah di kepala dan patah kaki sebelum disahkan meninggal dunia, 7.58 pagi hari sama, manakala pemandu SUV berusia 46 tahun cedera ringan.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat serta rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.


Disiarkan pada: May 12, 2025 @ 4:15pm


@liputan7official

Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!