Pelajar tahfiz dakwa ditampar warden, makan roti tanpa kebenaran


KEMAMAN – Gara-gara memakan beberapa keping roti buku tanpa kebenaran, seorang pelajar sebuah pusat tahfiz di daerah ini mendakwa ditampar wardennya sehingga cedera pada bahagian kiri dahi pada akhir bulan lalu.


Insiden melibatkan remaja lelaki berusia 16 tahun itu didakwa berlaku pada pukul 3.45 petang, 26 April lalu.


Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa mendakwa perbuatan tersebut berlaku di dalam bilik asrama pusat tahfiz terbabit.


“Mangsa mendakwa dia ditampar kerana dia telah melanggar peraturan dengan memakan roti yang disimpan untuk sarapan keesokan hari tanpa kebenaran.


“Roti yang dimakan adalah sebahagian sebuku roti yang masih dalam bungkusan dan ia diletakkan di tempat simpanan makanan pusat tahfiz terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.



Mohd. Razi berkata, mangsa yang cedera pada bahagian kiri dahi telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini pada pukul 9.50 pagi, 27 April lalu.


Beliau berkata, remaja lelaki berkenaan kemudianya dimasukkan ke Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan.


“Laporan pemeriksaan awal perubatan mangsa telah diperolehi. Keterangan warden pusat tahfiz itu juga sudah sudah diambil.


“Siasatan awal mendapati suspek berusia 41 tahun baru dilantik menjadi warden pusat tahfiz tersebut pada bulan Disember tahun lalu,” katanya. 

Kredit laporan berita Kosmo!


@liputan7official

Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!